Dua maut pondok pengawal terbakar: Rakaman CCTV papar kebakaran bermula dari dalam

Oleh RIZQI ZABIDI

KEMATIAN seorang daripada dua individu yang ditemukan maut dalam kebakaran di pondok pengawal dekat Taman Bayam Indah 2, di Lunas, Kedah malam tadi dipercayai berpunca daripada sesak nafas akibat asap kebakaran.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, punca kematian itu diperolehi hasil bedah siasat dijalankan terhadap mayat lelaki yang ditemukan dalam pondok berkenaan.

Mayat seorang lagi individu yang dipercayai merupakan wanita ditemukan di lokasi sama, akan dibedah siasat esok.

“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar mendapati mangsa lelaki maut akibat ‘inhalation of fire fumes’ manakala mayat wanita yang ditemukan di lokasi sama pula akan dibedah siasat kira-kira pukul 10.30 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Warta Rakyat melaporkan mengenai penemuan dua mayat yang rentung dalam pondok pengawal keselamatan yang diperbuat daripada kontena.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.56 malam tadi.

Mengulas lanjut Mohd. Redzuan berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kontena tersebut terbakar dari arah dalam kira-kira pukul 10.45 malam.

“Semakan CCTV itu tidak mendapati sebarang unsur khianat. Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati kedua-dua mangsa tidak memiliki kesan kecederaan berunsur jenayah.

Kebakaran pada kedua-dua mangsa dianggarkan sebanyak 70 peratus, katanya.

“Pihak polis turut memanggil beberapa individu yang disyaki mempunyai hubungan keluarga dengan kedua-dua mangsa bagi pengecaman dan mendapatkan sampel DNA. Namun waris gagal mengenal pasti identiti kedua-dua mereka dan mayat individu terlibat akan disimpan di hospital hingga keputusan DNA diperolehi,” katanya.

Ujarnya, kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *