Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

Oleh RIZQI ZABIDI

DUA beradik maut akibat lemas ketika mandi-manda bersama seorang lagi rakan mereka di Pantai Cenang dekat Langkawi, senja semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dua beradik tersebut dikenali sebagai R. Yuvaaraj, 22, dan R. Ravishangkar, 26, difahamkan tiba di pantai tersebut bersama dua lagi rakan mereka iaitu M. Sivaprakash Naidu, 25 dan R. Jeyakumar, 24 kira-kira pukul 7 petang.

Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang datang bercuti ke Langkawi sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini.

“Setibanya di pantai, dua beradik itu bersama Sivaprakash turun ke laut untuk mandi manakala Jeyakumar pula tidak menyertai mereka untuk berbuat demikian. Semasa mandi, datang ombak besar yang tanpa disedari telah menarik ketiga-tiga mereka ke kawasan lebih dalam.

“Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka terkapai-kapai meminta tolong. Sivaprakash berjaya berenang ke tepi pantai dan diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di Menara APM berhanpiran manakala dua beradik tersebut terus hilang dari pandangan,” katanya.

Tambahnya, pencarian dilakukan pihak berwajib kemudiannya berjaya menemukan mayat Yuvaaraj kira-kira pukul 9.35 malam.

“Mayat abangnya pula ditemukan kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi,” katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *