KONVOI bermotosikal yang disertai seorang lelaki bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai, di Ipoh, tengah hari ini.
Lebih tragis apabila mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal Yamaha MZ150 maut selepas digilis tayar lori berkenaan pada bahagian kepala.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd Sapri Yeop Mohamad berkata, kejadian turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal lain berusia 50-an yang berada di belakang cedera ringan akibat terbabas.
“Difahamkan terdapat 40 motosikal dalam perjalanan ke Cameron Highlands kerana mengikuti konvoi itu.
“Lori yang terbabit dalam nahas ini adalah lori 10 tan tanpa muatan. Bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membawa keluar mangsa yang digilis itu,” katanya sewaktu dihubungi, lapor Harian Metro.
Khidmat anggota bomba BBP Simpang Pulai digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pukul 1.49 tengah hari tadi dengan operasi tamat pukul 3.19 petang.
Leave a Reply