KETUA Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa, hari ini.
Keputusan itu kata Abu Hafiz dibuat setelah mengambil kira pelbagai timbangan termasuk rasa tanggungjawab terhadap prestasi parti itu pada PRU15.
“Semoga kepimpinan baru mampu mengemudi sayap pemuda Pejuang dengan lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Free Malayasia Today.
Abu Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan utama Pejuang khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kepercayaan kepadanya menggalas amanah berkenaan selama ini.
PRU-15 menyaksikan Pejuang tewas di kesemua 121 kerusi ditandingi termasuk pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, yang hilang deposit di Langkawi.
Selain Mahathir, presiden Pejuang yang juga anaknya, Mukhriz, dan timbalan presidennya, Marzuki Yahya, masing-masing hilang deposit di Jerlun dan Sungai Petani.
Pejuang membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), NGO, ahli akademik serta profesional.
Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.
Leave a Reply