PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka diputuskan selepas Februari iaitu sebaik tamat musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, berkata kerajaan negeri sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana politik negara sementara menunggu keputusan untuk pembubaran DUN.
“Belum ada keputusan dan tak bincang apa-apa lagi, cuma kita sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana (politik).
“Tahun depan walau macam mana sekalipun akan bubarlah, cuma bulan belum pasti. Mungkin lebih awal dari bulan lima (Mei) sebab bulan itu pun DUN terbubar dengan sendiri.
“Saya percaya, dengan perkembangan politik ketika ini, kemungkinan besar bukan hanya Kelantan, malah beberapa negeri lain juga akan bubar DUN lebih awal dari bulan lima, itu jangkaan kita,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tarbiah DUN Panchor, Kota Bharu, hari ini lapor BH Online.
Mohd. Amar berkata, pembubaran DUN tidak boleh dijalankan dalam masa terdekat kerana musim tengkujuh masih belum berakhir dan mengikut pengalaman di negeri itu, tempoh banjir berlanjutan hingga Februari.
Katanya, faktor perantau yang baru kembali ke negeri luar selepas pulang mengundi, baru-baru ini juga perlu diambil kira kerana ia membabitkan kos dan membebankan mereka.
Ditanya mengenai calon, Mohd. Amar berkata, Pas akan menampilkan 30 peratus muka baharu seperti kelaziman yang berlaku setiap kali pilihan raya.
Leave a Reply