PBM kecewa tiada wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) yang menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa kerana tidak diberi jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng berkata, pihaknya kecewa apabila tiada wakil parti itu dalam Kabinet, sedangkan mereka antara yang terawal memberi sokongan pada Perdana Menteri untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga satu-satunya calon parti itu yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagaimanapun menegaskan, PBM tetap mengutamakan kepentingan negara berbanding parti dan akan berusaha memainkan peranan terhadnya untuk membantu mengukuhkan kerajaan.

“Tiada kata boleh diucapkan untuk menzahir kekecewaan terhadap pembentukan Kabinet berikutan PBM, yang menjadi antara terawal memberi sokongan pada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10, tiada wakil dalam Kabinet.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah parti, kita tidak boleh benarkan kepentingan parti melangkaui kepentingan negara,” ujar Ahli Parlimen Julau itu.

“Dalam usaha untuk negara bergerak ke harapan, kami juga akan mainkan peranan terhad kami untuk memperkukuhkan asas kerajaan ini,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya, malam tadi.

Larry menjadi satu-satunya wakil PBM yang menang dalam PRU15 apabila mempertahankan kerusi Parlimen Julau dengan majoriti 1,340 undi.

Dalam PRU14, Larry yang bertanding atas tiket Bebas ketika itu, menang dengan majoriti 1,931 undi.

Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri, sekali gus melengkapkan Kabinet kerajaan perpaduan yang dianggotai 55 individu, termasuk dua timbalan perdana menteri dan 28 menteri.

Mengulas lanjut, Larry memaklumkan PBM akan mengekalkan statusnya sebagai sebuah parti nasional dan mahu memperluaskan pengaruh parti itu, khususnya melalui kerjasama atau bergabung dengan mana-mana gabungan besar politik.

“Saya tidak menolak kemungkinan bergabung dan pembentukan gabungan dengan parti politik lain, sama seperti yang dirancang sebelum PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *