PN sudah muktamad calon Ketua Pembangkang

PERIKATAN Nasional (PN) sudah memuktamadkan wakil gabungan itu yang akan memegang tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika mengesahkan keputusan itu, bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang bakal mengisi jawatan berkenaan buat masa ini.

Beliau berkata, pengumuman berhubung siapa pemimpin sama ada dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas yang bakal memikul tugas sebagai Ketua Pembangkang akan diumumkan sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat, 19 Disember ini.

“PN sudah membuat keputusan dan akan dimaklumkan kepada media sebelum persidangan Dewan Rakyat nanti,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman, yang juga Ahli Parlimen Bachok, pula berkata, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang mencadangkan nama Ketua Pembangkang itu.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sudah membuat keputusan dan Abdul Hadi juga turut hadir dan beliau antara yang mencadangkan nama terbabit.

“Kita cadang atas nama PN…kita tunggulah pengumuman nanti, menjelang 19 Disember ini,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, sebelum ini dipilih sebagai Ketua Pembangkang mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Semalam, beberapa penganalisis politik ‘memilih’ bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu sebagai calon yang sesuai untuk menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang kerana mempunyai pengalaman sebagai menteri dan disenangi banyak pihak.

Tuan Ibrahim yang banyak pembabitannya dalam Muafakat Nasional (MN), dikatakan lebih lembut dan dilihat lebih efektif serta rasional dalam menjalankan tugasnya.

Ini kerana berdasarkan situasi semasa, rakyat tidak mahukan Ketua Pembangkang yang retorik dan bersuara lantang semata-mata, sebaliknya yang boleh bertindak rasional dalam menjalankan peranan untuk semak dan imbang.

Mengikut tradisi, Ketua Pembangkang dipilih berdasarkan parti yang diwakilinya, yang membentuk jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menang 49 kerusi, dengan menyapu bersih kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Pas bertanding menggunakan logonya sendiri di Kelantan dan Terengganu, manakala di negeri lain menggunakan logo PN.

Bersatu pula mencatatkan kemenangan di 28 kerusi berbanding 73 kerusi yang dimenangi PN.

Namun ada juga penganalisis politik berpendapat, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih layak menjadi Ketua Pembangkang kerana kapasitinya sebagai ketua parti gabungan iaitu Pengerusi PN walaupun partinya, Bersatu hanya menang 28 kerusi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *