Oleh RIZQI ZABIDI
KERAJAAN Persekutuan digesa supaya memberi perhatian terhadap isu-isu penting yang sudah lama menghantui golongan pesawah di negara ini hingga menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada garis kemiskinan sebelum ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kebanyakan isu yang melingkari golongan tersebut berada di bawah bidang kuasa agensi kerajaan Persekutuan.
Masalah melibatkan golongan pesawah itu katanya, tidak mampu untuk diselesaikan dengan hanya mengagih-agihkan bantuan berjumlah puluhan juta ringgit kepada golongan pesawah ketika isu-isu berkaitan kos pengeluaran padi juga gagal diselesaikan.
“Antara isu yang perlu diberi perhatian adalah mengenai timbangan padi di kilang. Apabila padi dijual, pesawah hanya duduk di rumah dan menerima resit ketika timbangan padi hanya berjalan dengan kelolaan pemandu lori serta tauke kilang saja.
“Jadi siapa yang nak periksa timbangan itu betul atau tidak? Sudah tentulah kita mengharapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) apatah lagi saya difahamkan, walaupun tahun itu padi tampak banyak, tetapi timbangannya tetap sama seperti tahun lepas dengan kadar purata bagi keluaran padi di Kedah ini puratanya adalah enam tan untuk satu hektar.
“Apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) buat sistem penanaman padi dan timbangan sendiri, boleh pula cecah hingga tujuh tan pada musim pertama dan lapan tan pada musim kedua. Mengapa boleh jadi begitu sedangkan tanaman padi tersebut dilakukan di lokasi berdekatan dengan orang lain dan inilah antara perkara perlu diberi tumpuan,” katanya.
Muhammad Sanusi menambah, keuntungan daripada nilai timbangan yang dikurangkan oleh pihak tertentu itu kemudiannya difahamkan digunakan untuk membuat pembayaran kepada broker lori, traktor, mesin padi dan bermacam-macam pihak lain.
“Selain itu perhatian juga perlu diberi terhadap kartel-kartel yang membekalkan input pertanian dan benih padi. Kadang-kadang petani tabur benih dua tiga kali tetapi padi masih tak hidup.
“Maka timbullah pelbagai alasan seperti air terlalu dalam dan sebagainya tetapi hakikat sebenar adalah benih dibekalkan itu yang tidak berkualiti. Hasil kekal sama tetapi kos penghasilan dan pengeluaran padi meningkat, maka bagaimana pesawah hendak keluar daripada paras kemiskinan?” katanya.
Leave a Reply