PARTI politik di negara ini tidak perlu mencari salah antara satu sama lain sebaliknya perlu fokus membela nasib rakyat sejurus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berakhir.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, sama ada yang menang atau kalah, mereka perlu berhenti menuding jari mencari kelemahan mana-mana pihak.
Beliau menjelaskan, dendam politik hanya akan membinasakan dan menyebabkan perpaduan yang baharu hendak dibentuk akan musnah.
“Saya berpandangan bahawa apa sahaja parti politik sekalipun sama ada yang menguasai kerajaan ataupun tidak perlu bersama -sama mencambah idea membantu menghasilkan dasar yang membela nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mahathir mengulas lanjut memberitahu, ketika kempen PRU-15, janji menerusi manifesto diwujudkan oleh semua parti politik untuk meyakinkan pengundi mereka adalah pilihan terbaik.
“Sekarang adalah waktu untuk masing-masing mengotakan janji itu demi menghargai pengundi yang menyokong dan memilih kita sebagai wadah perjuangan agar masalah dan rintihan mereka didengari dan dibantu,” katanya.
Menurutnya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Bajet 2023 disemak semula oleh kerajaan, ia sebenarnya menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
“Rakyat sebenarnya tidak perlu diseksa lagi dengan pemanjangan perbincangan Bajet 2023,” jelasnya, lapor BeritaBersatu.
Dalam pada itu Mahathir berkata, kerajaan harus merangka semula sistem pendidikan semasa kepada sistem yang lebih baharu dan efisien bagi memastikan mutu pendidikan negara pada tahap terbaik.
“Sebenarnya mereka (pelajar) perlukan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dari sekolah berasrama penuh hinggalah ke peringkat universiti,” ujarnya.
Leave a Reply