JAS Pulau Pinang arah kontena bahan buangan elektrik, elektronik dihantar pulang ke AS

SEBUAH kontena yang mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat (AS) dipercayai cuba dilupuskan secara haram di negara ini diarah dihantar pulang ke negara asal.

Tindakan itu diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas kontena terbabit disita selepas membuat pengisytiharan tidak benar yang mana bahan buangan itu diikrar sebagai aloi aluminium.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kontena itu disita sewaktu pemeriksaan pihaknya di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), Pulau Pinang hari ini dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kontena seluas 40 kaki (12 meter persegi) itu menjumpai sebanyak 38 pelet di dalamnya yang dimuatkan dengan buangan sekerap merangkumi papan litar tercetak (printed circuit board); ‘internal hard disk drive’; unit pemprosesan komputer (CPU) dan lain-lain komponen elektronik.

Ujar beliau, kesemua bahan itu dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Kontena disita sewaktu pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), Pulau Pinang hari ini dengan kerjasama JKDM dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

“Susulan itu, JAS Pulau Pinang mengeluarkan satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.

“Sekiranya pengimport gagal berbuat demikian, tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B melibatkan denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksimum lima tahun boleh dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu kata beliau, pengimport yang beralamat di Klang, Selangor itu turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis sekiranya mengingkari arahan yang dikeluarkan.

Semua bahan ini dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Jelasnya, pensampelan bahan bukti turut dibuat untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan terutama apabila majoriti bahan terbabit mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.

Selain itu katanya, pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya termasuk logam berat yang mencemar tanah, air dan udara.

“Sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia perlu dihantar dan diproses hanya di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *