RAKYAT Padang Serai membuat pilihan tepat dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan rakyat Padang Serai itu memastikan parlimen berkenaan tidak dikuasai oleh mereka dari kumpulan yang mengutamakan kepentingan peribadi.
Sehubungan itu katanya, beliau melahirkan kesyukuran di atas kemenangan calon PN bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.
“Alhamdulillah, inilah isyaratnya! Tahniah kepada rakyat Padang Serai kerana membuat pilihan tepat dengan memilih Perikatan Nasional.
“Ini adalah perjuangan anda dengan memastikan Padang Serai tidak dikuasai oleh mereka dari kumpulan yang mengutamakan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BeritaBersatu.
Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.
Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).
Dengan kemenangan Azman, PN kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.
Leave a Reply