Serangan pengebom bunuh diri di balai polis Bandung, 2 maut 8 cedera

DUA termasuk seorang anggota polis terbunuh manakala lapan yang lain cedera selepas seorang lelaki meletupkan diri di sebuah balai polis di Bandung, Indonesia pagi ini.

Lapor CNN, kejadian berlaku selepas seorang lelaki memasuki Balai Polis Astana Anyar ketika sekumpulan pegawai polis sedang beratur untuk satu perhimpunan pada pukul 8.20 pagi.

Suspek kemudian bertindak mengacukan senjata tajam ke arah pegawai polis, sebelum bertindak meletupkan diri yang membunuh dirinya dan seorang anggota polis.

Akibat letupan itu juga, tiga anggota polis cedera parah manakala empat yang lain cedera ringan ketika seorang awam juga dilaporkan cedera.

Lapor Kompas memetik kenyataan polis, pasukan unit pemusnah bom dari Polis Daerah Jawa Barat dikerahkan ke lokasi kejadian susulan insiden berkenaan.

Polis turut menutup kawasan sekitar sehingga radius 200 meter di sekeliling balai polis tersebut manakala jalan menuju ke balai polis itu ditutup untuk tujuan pemeriksaan.

Polis masih menyiasat motif serangan serta sama ada lelaki tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Namun, kata Ibnu Suhendra daripada Badan Nasional Penanggulangan Terorisme kepada Metro TV, kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) bermungkinan dalang di sebalik serangan itu.

Sementara itu, jurucakap polis Indonesia, Ibrahim Tompo berkata, polis masih menyiasat serangan itu dan meminta orang ramai bertenang dan tidak cemas dengan kejadian tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *