TIMBALAN Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Ketua Pembangkang yang dipilih gabungan itu merupakan seorang pemimpin berwibawa dan berintegriti.
Menurut beliau, Ketua Pembangkang tersebut juga diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab semak imbang terhadap kerajaan dengan baik.
“Sudah ada, orangnya pun insya-Allah berwibawa. (Dari parti mana) saya tak boleh umumkan, dan mendapat persetujuan semua parti komponen PN.
“Saya yakin Ketua Pembangkang ini mampu menawarkan semak dan imbang yang baik kepada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akan mengumumkan nama Ketua Pembangkang sebelum 19 Disember ini.
Katanya, calon Ketua Pembangkang itu telah pun diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi yang diadakan sebelum ini.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mengucapkan terima kasih kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) apabila mengambil keputusan meninggalkan PN yang disertai parti itu sejak awal 2020.
Katanya, PN terbuka dengan keputusan tersebut sejajar dengan prinsip tiada paksaan dalam bersama mana-mana blok politik yang difikirkan baik untuk parti masing-masing.
“Kita tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk berbuat demikian, mereka ada hak yang sama seperti parti-parti lain untuk memilih jajaran yang mereka mahukan,” katanya.
Sementara itu, beliau menafikan bahawa wujud usaha untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, sedangkan PN sudah pun menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Tak benar itu, saya tak rasa itu benda yang tepat, kita dah hormat keputusan Yang di-Pertuan Agong kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran.
“Kami juga telah buat ketetapan dalam mesyuarat bahawa Perikatan Nasional adalah pembangkang, dan itulah keputusan politik yang kami terima dan pegang untuk lima tahun akan datang,” katanya lagi lapor UtusanTV.
Leave a Reply