Oleh BADLISHAH MAT

GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) di Kedah apabila tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Padang Serai.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang selepas mendapat majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Kemenangan Azman menjadikan PN memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim masing-masing turut mendapat 2,983 dan 149 undi.

Sementara itu, calon bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman yang mendapat 424 undi.

Sivaraj dan Mohd. Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi memberi laluan dan menyokong Mohamad Sofee.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah pada pukul 10.50 malam ini di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.

Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu antaranya Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pilihan raya Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH M Karupaiya pada 16 Nov. Bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

Karupaiya memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 dengan majoriti lebih 8,000 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here