BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

Ia susulan kemenangan calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti kecil 573 undi.

Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.

Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit.

Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.

Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU-15.

PRU-15 DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *