PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) menunjukkan pengundi muda Melayu Islam bangkit melakukan perubahan secara demokrasi yang disifatkan seperti menyambung perjuangan Mat Kilau menentang penjajah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kebangkitan itu adalah kesan daripada penayangan filem ‘Mat Kilau’ yang mengangkat perjuangan sebenar tokoh pahlawan Melayu itu yang memperjuangkan Islam dan menentang penjajah.
Kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, mereka yang menonton filem itu didedahkan dengan fakta sejarah sebenar yang didakwa cuba diselindungkan selama ini mengenai perjuangan sebenar Mat Kilau.
“Sedikit sebanyak cerita Mat Kilau itu mengoyakkan penutup yang selama ini disembunyikan perjuangan sebenar bangsa Melayu yang berwajah Islam dalam menentang penjajah.
“Wajah perjuangan Islam itu sengaja dihapuskan dengan alasan kerana mereka menentang pelaksanaan sistem cukai dan sebagainya. Adalah tidak masuk akal, mereka berjuang sehingga sanggup mati hanyalah semata-mata kerana bayaran cukai,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata, walaupun filem itu tidak dapat menceritakan sepenuhnya hakikat perjuangan kemerdekaan oleh golongan ulama dan raja-raja mempertahankan Islam, fakta itu ada diterjemahkan dalam filem berkenaan.
“Penonton daripada kalangan generasi muda khususnya mendapat sedikit pencerahan, antara siapakah pejuang kemerdekaan yang sebenar dengan siapakah pengkhianat yang menjadi alat dan bersekongkol bersama penjajah?
“Cerita sebenar yang ditimbus dalam buku-buku penulisan sejarah yang mengelirukan perlu digali semula.
“Sudah terdapat beberapa kajian yang ikhlas mutakhir ini yang perlu dijadikan rujukan kajian supaya umat tidak ditipu berulang kali lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa terdapat segelintir pengundi saluran satu (saluran untuk warga emas) tidak menunjukan semangat yang sama seperti pengundi muda Melayu Islam.
“Masih ada segelintir generasi daripada saluran satu yang sesat lebih setengah abad walaupun mereka juga berlambangkan keris pahlawan Mat Kilau yang kemudian dilemparnya jauh pergi.
“Mata mereka telah dikaburi oleh abu mayat Chin Peng, seorang pahlawan komunis sehingga terikut-ikut dengan teori Machiavellianisme, ‘the ends justify the means’ (matlamat menghalalkan cara),” katanya.
Beliau berkata, kendengaran juga desakan supaya abu mayat Chin Peng yang juga bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM) dibawa pulang.
Malah, katanya turut diadakan perhimpunan supaya mengiktiraf perjuangannya menjadi sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan, walaupun ia adalah tempias pihak komunis yang bergabung dengan penjajah Barat dalam Perang Dunia Kedua.
“Tidak sedar bahawa komunis juga bersama penjajah dengan wajah yang baharu daripada arah kanan diubah ke arah kiri,” katanya lapor Berita Harian.
Leave a Reply