TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, fitnah yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO tidak sedikit pun melemahkan semangat Perikatan Nasional (PN) malah menjadikan gabungan itu terus kuat berjuang bagi mencapai cita-cita menubuhkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.
Pengerusi PN itu berkata, fitnah tentang isu RM600 bilion yang dibelanjakan ketika pandemik Covid-19 dan penggunaan duit hasil judi bagi membiayai kempen PRU-15 baru-baru ini sengaja direka bagi memburuk-burukkan gabungan itu.
Beliau menjelaskan, isu berkenaan dibuat setelah rakyat jelas menolak PH dan UMNO dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Saya nak beritahu PN bukanlah sengkek sangat dan kita tidak akan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak terutamanya syarikat perjudian.
“Kita sudah haramkan premis-premis judi di beberapa negeri yang kita kuasai, takkan kita nak ambik duit judi? Wallahi kami takkan lakukan perkara haram begitu!
“Saya mencabar mereka yang membuat fitnah itu memberi bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa dan bukannya sekadar cakap kosong.
“Percayalah segala fitnah ini tidak sedikit pun melemahkan semangat kita malah menjadikan kita terus kuat berjuang bagi mencapai cita-cita menubuhkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan padu rakyat sehingga PN berjaya memenangi 73 kerusi Parlimen pada PRU-15 baru-baru ini.
Lebih membanggakan kata beliau, 62 peratus pengundi Melayu memilih Perikatan Nasional berbanding UMNO dan PH pada pilihan raya ini.
“Ini membuktikan rakyat mahu sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti bukannya Kerajaan PH-UMNO yang sedang dicemuh di seluruh dunia kerana tanpa segan silu melantik seorang yang sedang didakwa di mahkamah kerana kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Saya persoalkan bagaimana sebuah kerajaan yang dicemari dengan isu-isu integriti dapat menyakinkan para pelabur luar untuk masuk ke negara ini?, tanya bekas perdana menteri itu lagi.
Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh menegaskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai dan Tioman amat penting untuk rakyat meneruskan sokongan kepada PN dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bertanggungjawab, prihatin, bersih dan stabil.
“Justeri saya merayu seluruh penyokong PN terutama di Padang Serai dan Tioman agar terus istiqamah untuk mendukung prinsip perjuangan suci ini sehingga kita mencapai kejayaan, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berasa amat terharu melihat sambutan luar biasa para penduduk pada dua program semalam semasa beliau berkempen di Taman Mutiara, Sungai Kob, Karangan dan di Taman Selasih, Kulim.
Menurut beliau, di Taman Mutiara, kira-kira 1,000 penduduk hadir pada program santai petang bersama penduduk setempat walaupun dalam hujan lebat.
“Dalam ceramah (di Taman Selasih) yang dihadiri ‘melaut’ penyokong Perikatan Nasional (PN) itu, saya dapat merasakan ini petanda awal kemenangan calon kita Cikgu Azman Nasrudin di P107 Padang Serai, insya-Allah,” tambahnya.
Leave a Reply