TINDAKAN Barisan Nasional (BN) menyerahkan geran hak milik tanah kepada 132 penduduk Felda Selendang 2, di Rompin dilihat seperti terdesak untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, penyerahan surat hak pemilikan tanah seharusnya diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukannya ketika pilihan raya.
“Tindakan berkenaan seperti rasuah kepada pengundi DUN Tioman menjelang pilihan raya pada 7 Disember ini. Kenapa pada waktu ini mereka beri. Saya tidak kata rasuah secara ‘total’ tetapi seperti rasuah.
“Kita merasakan BN begitu tertekan dengan situasi sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja di Tioman, malah di seluruh Pahang.
“Kenapa kita katakan seperti rasuah. Pada PRU15, sebelum Allahyarham Md Mohd Yunus Ramli meninggal dunia, pada ketika itu tidak timbul pun isu tanah,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Rompin hari ini.
Semalam, kerajaan Pahang menyerahkan suratan hak milik tanah kepada 132 peneroka Felda Selendang 2 membabitkan tanah kediaman dan pemilikan ladang kelapa sawit.
Dalam pada itu, sebelum ini calon BN DUN Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Mohd. Hussin memberi jaminan kerajaan negeri kepada 42 penduduk Kampung Jawa Pantai di Rompin untuk mengambil satu inisiatif agresif bagi menyelesaikan isu pemilikan geran tanah yang berlarutan sejak 43 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, BN tidak pun menawarkan kepada rakyat walaupun sekangkang kera tanah, namun ketika ini mereka secara tiba-tiba menawarkannya.
“UMNO dan BN sangat tertekan dengan PN. Kekuatan PN bagi tekanan kepada BN, tertekan hingga bagi tanah.
“PN kini pembangkang yang kuat oleh itu tekanan ini akan membantu rakyat Pahang memperoleh apa yang sepatutnya mereka dapat daripada Kerajaan Pahang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur.
Leave a Reply