PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap menghormati Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun berada dalam parti berbeza.
Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, beliau adalah seorang penyokong tegar prinsip dwipartisan sambil menambah, kini adalah waktu untuk kedua-dua pihak memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin Yassin tetap kekal. Hormat kawan dan lawan,” katanya di Facebook.
Bekas menteri belia dan sukan itu pada masa sama mendedahkan beliau dan Muhyiddin baru-baru ini meluangkan masa selama dua jam untuk berbual, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut perbincangan.
Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan ke atas Muhyiddin yang juga pengundi di Parlimen itu.
Syed Saddiq turut mengajak ke arah pembinaan semula Malaysia dengan maruah dan integriti.
“Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik,” katanya lapor Free Malaysia Today.
Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu pimpinan Muhyiddin sebelum ini.
Pada PRU-15, Muda memilih Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim sebagai sekutunya.
Bagaimanapun tidak ada sebarang jawatan diberikan kepada Muda ketika Anwar mengumumkan Jemaah Menterinya, minggu lalu.
Leave a Reply