AHLI Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menggadaikan prinsip, yang menunjukkan petanda keretakan dalam kalangan ahli Parlimen baru Pakatan Harapan (PH) selepas Perdana Menteri gagal mengotakan ikrar untuk tidak memasukkan pemimpin terpalit skandal ke dalam Kabinet.
Dalam sebuah hantaran Facebook, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menulis puisi yang mengenang bagaimana Anwar berulang kali memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau “tidak akan menggadai prinsip demi kuasa.’
Hassan berkata dengan keyakinan terhadap jaminan itu, beliau memulakan perjuangan ‘ke setiap penjuru tanah air tercinta ini.’
“Semalam aku masih terdengar-dengar, kau berkata kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa. Maka, aku pun percaya.
“Tetapi hari ini aku dikejutkan dengan istilah-istilah asing sama sekali. Aku mendengar orang berkata tentang Machiavellian dan realpolitik. Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri.”
Hassan turut mengungkap rasa malunya di mana beliau mengambil keputusan untuk menyimpan semua ucapan dan tulisannya yang mempromosikan reformasi, merujuk slogan politik Anwar sepanjang dua dekad melawan kerajaan yang diterajui UMNO.
“Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi,” tambahnya memetik laporan MalaysiaNow.
“Separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini.”
Beliau turut menggesa supaya Anwar berlaku jujur ‘di luar dan di dalam hati.’
Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, walaupun presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.
Ia diputuskan selepas Anwar beberapa kali mengulangi sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini bahawa kerajaan yang akan dibentuknya tidak akan memasukkan ahli politik yang terpalit skandal.
Namun langkahnya melantik Zahid dalam Kabinet baru mencetuskan kemarahan ramai di mana sebahagian ahli politik PH dilihat terpaksa mempertahankan keputusan itu, mengatakan lantikan presiden UMNO adalah perlu supaya Anwar dapat terus berkuasa.
Zahid yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar, walaupun beliau mendapat tentangan keras dari dalaman UMNO sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP.
Sebelum Kabinet diumumkan, Hassan adalah antara ahli Parlimen termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut dilantik sebagai menteri yang memberi amaran kepada Anwar supaya tidak melantik pemimpin yang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah.
Dalam sebuah hantaran Facebook minggu lalu, beliau menyatakan kempen pilihan raya baru-baru ini adalah berdasakan dasar utama PH yang melawan rasuah, selain turut menggesa Anwar ‘supaya membentuk jemaah Kabinet yang bersih dari gejala rasuah dan pecah amanah.’
“Kriteria ini hendaklah diguna pakai secara adil kepada semua ahli Parlimen tidak kira dari Pakatan Harapan ataupun dari Barisan Nasional atau parti- parti gabungan politik lain yang berada di dalam kerajaan perpaduan.”
Leave a Reply