OLIVIA Nicholas yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Mrs World 2022 di Las Vegas bulan ini, sudah pun melakar nama dalam Malaysia Book of Records.
Peguam berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu yang dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2022 pada Oktober, mencipta rekod negara apabila mengenakan busana kebangsaan yang dihiasi dengan syiling lima sen terbanyak – sebanyak 10,000 keping.
Busana yang akan dipakai beliau pada pertandingan Mrs World 2022 pada 17 Dis nanti, dipaparkan di sini malam tadi.
Olivia menggayakan pakaian itu, yang menggabungkan elemen tradisional Sabah dan Sarawak, serta mencipta sejarah dalam pertandingan ratu cantik Malaysia apabila beliau muncul sebagai Ratu ‘Destar Siga’ pada majlis itu yang turut disaksikan oleh wakil daripada Malaysia Book of Records.
Syiling lima sen itu mempunyai motif kain ‘Destar Siga’ iaitu kain tenunan bentuk asli yang berasal daripada masyarakat Kadazan Dusun di Sabah dan digunakan sebagai hiasan kepala semasa upacara tradisional.
Pereka dari Sarawak Saran Anak Lagong telah mencipta kostum itu, kata Pengarah Kebangsaan Mrs World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur.
Beliau berkata Olivia akan bersaing dengan wakil dari lebih 60 negara untuk merebut mahkota Mrs World 2022 di Las Vegas dari 10 hingga 17 Dis ini.
Olivia akan ditemani suaminya Dr Sandeep Menon ke acara itu, katanya. – BERNAMA
Leave a Reply