AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan kru warga asing kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan kelac C sedang begerak di kedudukan 42 batu nautika barat Pulau Kendi ketika dalam perjalanan melaksanakan rondaan Op Tanjung.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan lima kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan seorang tekong warga Thailand berumur antara 23 hingga 54 tahun.
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut kira-kira 500 kilogram (kg) dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Dalam para itu, beliau menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada. – SB
Leave a Reply