Tak sangka mata anak bercahaya petanda kanser

SEPASANG suami isteri tidak menyangka keadaan mata sebelah kiri anak bongsu mereka berusia dua tahun yang kelihatan bercahaya rupa-rupanya petanda kanser.

Lebih mengejutkan Mohd Azriq Azman, 30, dan Nurhaleda Izatty Mohd Arif, 29, apabila kanser yang menyerang Muhammad Eshal Daiyan Mohd Azriq sudah berada pada tahap kritikal sehingga menyebabkan bebola mata sebelah kirinya terpaksa dibuang bulan lalu.

Nurhaleda Izatty berkata, mata Eshal kelihatan berkaca sejak April lalu namun pada waktu itu dia tidak menunjukkan sebarang simptom yang meragukan.

“Kami pun ada bawa Eshal ke klinik dan doktor memaklumkan matanya tiada masalah. Jadi kami tak fikir apa-apa.

“Tapi pada Ogos lalu, seorang doktor pakar yang juga kenalan kepada ahli keluarga kami mendakwa keadaan mata Eshal disebabkan kanser dan sudah berada pada tahap serius,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Taman Senawang Jaya, semalam.

Nurhaleda Izatty berkata, dia kemudian membawa anaknya ke klinik untuk pemeriksaan tetapi dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar di sini sebelum dirujuk pula ke Hospital Tunku Azizah (HTA) di ibu negara.

Ujarnya, luluh hatinya apabila doktor mengesahkan kanser pada mata sebelah kiri Eshal sudah berada pada tahap serius.

“Rupa-rupanya dah lama mata kiri Eshal tak nampak disebabkan kanser dan sebenarnya sehingga kini saya masih sukar nak terima hakikat itu.

“Lagi pun dia aktif seperti kanak-kanak lain. Tapi saya reda dan kini berharap mata kanannya dapat diselamatkan selepas doktor beritahu kanser turut menyerang mata terbabit,” katanya.

Menurutnya, anaknya kini menjalani rawatan kemoterapi sejak Ogos lalu di HTA bagi mematikan sel kanser daripada terus merebak.

Sementara itu kata Mohd Azriq, rutinnya dan isteri berulang alik ke hospital untuk rawatan Eshal menyebabkan pendapatannya sebagai penghantar makanan sedikit terjejas.

“Kadang-kadang dua hari saya tak kerja. Kos rawatan itu tiada masalah sangat kerana dia dirawat di hospital kerajaan tapi kos ulang-alik dan penginapan itu yang tinggi,” katanya yang mempunyai dua anak.

Sebelum itu, pasangan suami isteri berkenaan dikunjungi oleh Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Zulkifli Muhamed dan Pegawai Agihan Zakat Baitulmal Senawang, Mohd Suhaimi Mohd Aziz.

Pihak terbabit turut menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *