Khairil Nizam Khirudin

PN janji laksana empat kriteria sebagai pembangkang efektif

PERIKATAN Nasional (PN) menjanjikan empat kriteria yang diutamakan sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, empat kriteria yang PN janjikan kepada rakyat adalah penting demi kepercayaan yang diberikan kepada parti itu.

Menurutnya, janji itu akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih efektif, membina, membangun dasar yang menguntungkan rakyat dan mestilah jujur dalam tanggungjawab sebagai suara rakyat.

“Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, PN ada kemukakan hujah sekiranya kita ingin mewujudkan kerjasama yang baik di antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan Ahli Parlimen mestilah sama rata secara keseluruhannya.

“Perkara ini juga termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui Kerajaan Perpaduan.

“Kami melihat bahawa hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat seperti yang diamalkan ketika pemerintahan kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata, Agenda Transformasi Institusi Parlimen wajib diutamakan seperti pemerkasaan Jawatankuasa kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa lain bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berasaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

“PN akan memastikan empat pendekatan ini dilaksanakan dengan efektif untuk kami memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dan menguntungkan rakyat serta negara.

“Kita semua mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama, tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *