KETUA pembangkang yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan gabungan itu, kata Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
“Kebiasaannya ketua-ketua parti akan memegang jawatan (Ketua Pembangkang) itu, contoh Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH serta Presiden PKR.
“Jadi, perkara sama juga akan berlaku terhadap Muhyiddin. Cuma setakat ini, bukan ketua parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) pernah memegang jawatan itu. Ia bergantung kepada ketetapan (keputusan) yang dibuat parti.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti ada nama lain yang akan diangkat. Justeru, kita akan berjumpa dengan Presiden minggu depan, maksudnya (keputusan) masih belum dibincangkan atau dicadangkan lagi perkara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut berpandangan kenaikan status menteri kepada Ketua Pembangkang tidak wajar dijadikan fokus utama.
Jelasnya, ini kerana bukan pangkat yang dikejar sebaliknya memenuhi tuntutan kerja yang lebih penting.
“Ketua pembangkang bertaraf menteri itu bukan isu, yang penting keberkesanan menjalankan tanggungjawab tersebut dalam mengemudi dan mengetuai blok pembangkang menjadi pasukan berwibawa,” ujarnya.
Pada 11 Oktober 2021, media melaporkan Anwar menerima ‘surat kenaikan status’ yang mengesahkan pejabat Ketua Pembangkang itu menikmati kemudahan setara pejabat menteri seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.
Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam mesyuarat kedua jawatankuasa pemandu MoU itu, menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar membabitkan perkara itu.
Leave a Reply