Pelajar maut motosikal dilanggar pikap ketika buat pusingan U

SEORANG pelajar berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah pikap di lampu isyarat Jalan Datuk Amar Wee Bong Ping dekat Kuching, malam tadi.

Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu melibatkan remaja lelaki dikenali Ronaldy Robster ak Michael yang kemudiannya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika pikap dipandu seorang juruteknik berusia 30 tahun dari arah Batu 4 menuju ke Batu Kawa.

“Apabila sampai di lampu isyarat Datuk Amar Wee Bong Ping, semasa bergerak lurus tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah Batu Kawa membuat pusingan U di lampu isyarat tersebut.

“Motosikal terbabit masuk ke laluan pemanduan pikap mengakibatkan pemandu melanggar penunggang motosikal dari belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata, akibat dari pelanggaran itu mangsa yang cedera di bahagian kepala dan anggota badan dibawa oleh ambulans ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Kenderaan terbabit dibawa ke Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia,” katanya, lapor Harian Metro.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *