PELANTIKAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal mencetuskan kebimbangan ramai berikutan pelbagai kes mahkamah dihadapinya, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, keadaan itu berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang hanya menerima sokongan daripada mereka yang terpilih sahaja daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), jika mendapat peluang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Menurutnya, PN tetap dengan ketegasan menolak kluster mahkamah daripada awal menyertai kerajaan demi merealisasikan suara dan keinginan rakyat.
“Kita amat tegas, sebab kita hanya menerima sokongan daripada mereka yang terpilih sahaja dalam UMNO dan BN yang mana kluster mahkamah memang kita tolak. Jadi, kita tidak berbincang atau tidak menjemput semuanya yang dari awal kita ketepikan.
“Oleh sebab itu, kalau tengok sokongan atau akuan bersumpah (SD) yang kita dapat dari UMNO dan BN, hanya antara 10 hingga 15 orang. Apa pun, kini (kerajaan telah dibentuk dan Ahmad Zahid sudah dilantik), cuma kita bimbang apa akan berlaku pada kes-kes beliau.
“Kita tengoklah apa jadi nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan bersama veteran tentera di Kepala Batas, semalam lapor BeritaBersatu.
Beliau juga melihat Kabinet yang dibentuk Perdana Menteri, antara lain sebagai usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Ahmad Zahid dalam UMNO.
“Dalam UMNO sendiri ada kebangkitan untuk menolak mereka yang bergelumang dengan kes mahkamah, namun apa yang dilakukan Anwar ialah membantu Zahid dengan memperkukuhkan kedudukan Zahid dalam UMNO,” katanya.
Wan Saiful turut menyiatkan pembentukan Kabinet baharu sebagai ujian buat negara dan berharap rakyat dapat membuat penilaian terbaik.
“Saya sebenarnya salah seorang yang menyatakan bahawa saya gembira duduk di sebelah pembangkang dengan ‘our heads held up high’, maksudnya kita duduk di sebelah pembangkang yang bermaruah dan berwibawa.
“Jadi saya gembira dengan keadaan ini dan kalau sekiranya kita nak bentuk kerajaan pun biarlah kita bentuk atas dasar prinsip, bukan atas dasar menjual segala-galanya semata-mata untuk mendapatkan jawatan,” katanya.
Leave a Reply