TOKOH Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya bermaksud ia dibentuk secara angkat muat, sebaliknya wajib mempunyai integriti.
Menurut beliau, ia harus memuaskan hati atau sekurang-kurangnya menenangkan perasaan 14.82 juta pengundi yang keluar memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Katanya, kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan perpaduan dan bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun kerajaan apa pun, ciri-ciri yang baik hendaklah diutamakan.
“Bukan sebuah kerajaan yang tidak seimbang daripada segi perwakilan parti anggota atau pemilihan watak-watak yang bermasalah menjadi menteri. Kerajaan perpaduan tidak bermaksud angkat muat, tidak kira permata atau kaca, yang berakhlak atau tidak. Yang kalah dilantik menteri, yang menang diketepikan.
“Ketidakadilan boleh meleraikan muhibah dan perpaduan. Kerajaan perpaduan, kerajaan campuran atau apa-apa pun nama yang diberikan, bukan saja harus memuaskan hati Perdana Menteri, menteri-menteri dan penyokong mereka, tetapi wajib ada integriti.
“Lebih daripada itu, ia harus memuaskan hati atau sekurang-kurangnya menenangkan perasaan 14.82 juta rakyat jelata yang keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Kadir bagaimanapun berkata, atas alasan Kerajaan Perpaduan, pelantikan kontroversi yang sebelum ini dielakkan oleh kerajaan pimpinan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini dilakukan.
“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menjustifikasikan pelantikan orang yang ada kes mahkamah menggunakan alasan ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, kebimbangan kita adalah hujah itu akan menjadi ‘self-fulfilling prophesy’.
“Ertinya, orang yang menggunakan hujah itu mungkin mahu pendapatnya itu menjadi kenyataan dan sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai kuasa eksekutif yang cukup besar untuk menjadikan apa yang diinginkan itu terjadi. Satu prospek yang ngeri,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau dipercayai merujuk pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam barisan Kabinet diterajui Anwar yang mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.
Selain diberi kepercayaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid yang berdepan kes mahkamah masih berjalan turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Kabinet Anwar juga mengundang kontroversi apabila tiga calon kalah PRU15, dilantik menganggotai Jemaah Menteri, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kuala Selangor) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Lumut).
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH dan Setiausaha Agung PKR dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Tengku Zafrul (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Zambry (Menteri Luar Negeri).
Leave a Reply