Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

POLIS menahan seorang lelaki yang menggunakan nama masjid untuk mengutip derma bagi memberi sumbangan dan makanan kepada anak yatim.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 29 tahun ditahan pukul 4.48 petang semalamdi kediamannya di kawasan perumahan Kemumin, Pengkalan Chepa.

“Suspe merupakan seorang penganggur. Siasatan awal juga mendapati suspek terbabit dalam kes menggunakan modus operandi sama di Pasir Puteh pada Mei lalu.

“Hasil semakan mendapati suspek juga adalah individu dikehendaki selain mempunyai rekod lampau berhubung kes rogol di Bachok.

“Kami yakin selepas siasatan dibuat, ramai lagi yang akan tampil untuk membuat laporan berhubung kes penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Kuala Krai, hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga yang dihubungi oleh suspek yang mengaku sebagai penghulu memberitahu ingin mengadakan majlis untuk memberi makan anak yatim dan meminta sedikit sumbangan kewangan.

Mangsa tidak bertanya lanjut berikutan sering dihubungi pemimpin setempat untuk tujuan yang sama sudah membuat transaksi RM500 kepada suspek.

Suspek kemudian memaklumkan tidak cukup dan meminta RM2,300 lagi daripada mangsa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, statistik jenayah komersial di Kelantan pada tahun ini meningkat sebanyak 30 kes atau 3.4 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh Januari hingga November.

“Pada tahun lalu sebanyak 874 kes dilaporkan berbanding tahun ini sebanyak 904 kes dengan anggaran kerugian masing-masing RM16,072,480.65 pada tahun lalu dan RM24,897,882.21 pada tahun ini.

“Antara jenis yang dilaporkan termasuklah Macau Scam, tipu pelaburan dalam talian, tipu kerja sambilan dalam talian, pinjaman tidak wujud, dan sebagainya,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *