Bersih gesa Anwar penuhi janji Manifesto PH untuk lawan rasuah

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggandakan usaha bagi memenuhi Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk melawan rasuah dan mengukuhkan integriti institusi utama negara.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini mahu Pengerusi PH itu dan kabinet baharunya perlu segera mengutamakan tindakan bagi menghapuskan sebarang keraguan campur tangan kes mahkamah dan konflik kepentingan.

“Antara tiga tindakan yang dicadangkanan Bersih adalah menjadikan Peguam Cara Negara untuk mengambil peranan Pendakwa Raya dengan segera. Ia sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada Peguam Negara.

“Kedua, menggalakkan kestabilan politik dan pemantauan Parlimen dengan memberikan peranan bermakna kepada Pembangkang dan ‘backbencher’ Kerajaan dalam kabinet bayangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

“Ia termasuk dengan gaji yang selayaknya, sokongan kajian polisi dan akses kepada maklumat kerajaan kepada menteri bayangan serta pengerusi dan timbalan pengerusi JPK,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Selain itu kata Bersih, mereformasi proses pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Jelasnya, proses ini perlu dibebaskan daripada eksekutif dan dimasukkan peranan Parlimen, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang lain yang lebih bermakna.

“Bersih akan terus menjadi suara non-partisan dan akan terus mendesak reformasi yang akan memperkukuhkan demokrasi negara,” lapor Astro Awani.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *