Datuk Arthur Joseph Kurup

Arthur Kurup bimbang pembangunan dipinggir, hanya dua menteri Sabah dilantik

SABAH dilihat sebagai wilayah yang ‘rugi’ apabila hanya diberikan dua portfolio menteri penuh berbanding Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri II dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup turut menyuarakan kebimbangan berlaku pengabaian ke atas pembangunan dan projek kemajuan negeri itu seperti yang pernah berlaku pada 2018 di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

“Pembatalan begitu banyak projek pembangunan infra rakyat terutamanya Projek Pan Borneo Sabah ketika dipimpin Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 masih segar dalam ingatan rakyat Sabah. Begitu juga langkah-langkah penjimatan yang diambil dengan mengurang atau menghapuskan bantuan yang pada asasnya bertujuan untuk membantu rakyat.

“Sehubungan itu, Sabah memerlukan lebih ramai representasi dalam kabinet Persekutuan bagi membangunkan wilayah itu selain berharap agar kesilapan lalu (Kerajaan Pakatan Harapan) tidak diulangi bagi memastikan jurang pembangunan di antara Sabah dan Semenanjung dapat dirapatkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu, lapor Astro Awani.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berharap Kerajaan Perpaduan tidak mengabaikan Sabah memandangkan negeri itu memerlukan banyak bantuan daripada segi pembangunan dan rakyat.

Untuk rekod, daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 24 Ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Daripada jumlah itu Barisan Nasional Sabah (tujuh Ahli Parlimen) merupakan penyumbang terbesar dalam komposisi tersebut tetapi Sabah hanya diberikan dua jawatan Kabinet dan tiada daripada BN Sabah.

Pada pengumuman kabinet Kerajaan Persekutuan yang baharu menyaksikan Sabah diberikan dua portfolio iaitu Datuk Ewon Benedick dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Datuk Armizan Mohd Ali (GRS) pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Sementara itu, Sarawak masing-masing diberikan lima portfolio kementerian melalui perlantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya); Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat); Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *