Zahid, Fadillah TPM dalam 28 Jemaah Menteri Anwar

SELEPAS lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan barisan Kabinet kerajaan pimpinannya yang merangkumi 28 Jemaah Menteri.

Angka 28 menteri itu lebih kecil berbanding seramai 31 Jemaah Menteri semasa kerajaan sebelum ini ketika Anwar turut mengumumkan beliau akan turut memegang portfolio selaku Menteri Kewangan.

Mengikut pecahan parti, PKR memiliki jemaah menteri paling ramai dengan lapan orang diikuti BN (6), GPS (5), DAP (4), Amanah (2), GRS (1), UPKO (1) dan lantikan (1).

Pada masa sama, Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar itu juga menyaksikan buat pertama kali Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri I akan dijawat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Timbalan Perdana Menteri II pula akan dipegang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang tuurt menjawat Menteri Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, beberapa nama yang sebelum ini pernah menjadi menteri turut menganggotai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Antaranya, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang kembali menerajui Kementerian Pengangkutan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula kembali ke dalam barisan Kabinet sebagai Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk Seri Nancy Shukri menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Datuk Seri Azalina Othman Said pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula dilantik menerajui Kementerian Luar.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula dilantik masing-masing sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Antara nama baharu yang menganggotai Kabinet Anwar pula adalah Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi); Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan).

Nama baharu lain adalah Ahmad Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital); Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan); Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara); VN Sivakumar (Menteri Sumber Manusia); Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) dan Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)).

Kabinet Kerajaan Perpaduan ini juga menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik sebagai Menteri Agama.

Dalam sidang medianya sebentar tadi, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya menerima pakai semua kekuatan induk daripada Pakatan Harapan (PH) dan dukungan BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kata beliau, ketiga-tiga tonggak itu juga telah bersepakat dalam membentuk Jemaah Menteri yang menetapkan tatakelola baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat dari sudut kos sara hidup.

“Kesepakatan ini memungkinkan kita melebarkan jaringan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekarang ini selain daripada Warisan dan UPKO yang sedia ada.

“Ini bermakna kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.

“Jadi, dengan mandat ini, ia telah memberi keyakinan kepada kita untuk membentuk satu barisan Jemaah Menteri yang lebih padu dan akan bekerjasama sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar serta permasalahan rakyat,” katanya.

Pengumuman barisan Kabinet itu dinantikan seluruh negara selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Terdahulu, Anwar menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghadap Seri Paduka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *