Khairil Nizam Khirudin

PN susun ‘Kabinet bayangan’, sumbang kepakaran kepada kerajaan – Khairil Nizam

PERIKATAN Perikatan Nasional (PN) sedia memainkan peranannya sebagai pembangkang yang konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia, untuk kemaslahatan negara.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin memaklumkan, ketika ini PN dalam usaha menyusun ‘kabinet bayangan’ dengan kepakaran yang mereka miliki sebagai semak dan imbang serta sokongan kepada kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Beliau optimis kerjasama antara kerajaan dan pembangkang boleh terjalin sepertimana sebelum ini untuk bersama menyelesaikan masalah negara dan mengangkat Malaysia kembali ke persada dunia.

“Kita dalam usaha menyusun ‘kabinet bayangan’ atau kepakaran melalui kementerian-kementerian. Apatah lagi, kita pernah memimpin sebelum ini di bawah kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia.

“Saya yakin ‘template’ yang sama juga akan dibawakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita mewujudkan satu kekuatan yang ampuh,” katanya dalam program Agenda AWANI kelmarin.

Menurut Khairil, selain sokongan kepada kabinet, pembangkang juga boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen.

“Kalau ditakdirkan ada badan-badan atau jawatankuasa-jawatankuasa yang diperlukan untuk pembangkang menjadi ketuanya, mengapa tidak?

“Sebelum ini pun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kita berikan kepada DAP untuk mengetuainya.

“Sewajarnya, segala fasiliti dan prasarana untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan kepada setiap jawatankuasa tersebut maka perkara itu akan diperkasakan oleh pihak kerajaan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” tambahnya, lapor Astro Awani.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *