Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI 19 individu terdiri daripada nelayan di Kuala Kedah ditahan akibat positif dadah dalam operasi bersepadu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar dan Pokok Sena, semalam.

Sebahagaian daripada nelayan yang diperiksa Maritim Malaysia dan AADK dalam operasi dijalankan semalam.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir, operasi tersebut bermula kira-kira pukul 10 pagi semalam bertujuan membanteras kegiatan penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

“Serbuan dilakukan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan awak terhadap bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berhampiran.

“Hasil operasi itu, seramai 19 individu ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu sebuah bot nelayan tempatan kelas B turut diambil tindakan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, operasi tersebut melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi terlibat.

“Kesemua individu ditahan merupakan warganegara tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Kami amat mengalu-alukan aduan mahu pun laporan mengenai sebarang aktiviti jenayah mahu pun kecemasan di laut.

“Maklumat mengenai perkara itu boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here