Keputusan bersama PH khianat orang Melayu, ahli UMNO

Oleh BADLISHAH MAT

LANGKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO bersama-sama membentuk kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) mengecewakan akar umbi UMNO dan orang Melayu.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan itu juga mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang tegas menyatakan tiada kerjasama akan dijalinkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Saya hendak beritahu bahawa banyak orang (pemimpin UMNO) telah dihukum, saya sendiri telah diboo ketika PAU kerana pada pandangan mereka saya melawan arus.

“Tetapi kita dapati bahawa No Anwar dan No DAP adalah (keputusan yang dibuat) didalam PAU yang telah diputuskan dan telah diluluskan di peringkat MKT.

“Saya nak bertanyakan di mana peringkat (yang mengatakan) tidak (kepada keputusan ini), (yang) mengatakan bahawa Yes Anwar, Yes DAP, ini mengecewakan orang UMNO dan orang Melayu yang menyokong UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menemani calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkempen di pasar malam Sungai Karangan, Kulim.

Shahidan mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan penolakan parti itu untuk bekerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah ketika berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya selepas itu.

Pengerusi BN itu berkata, dalam konteks semasa, tindakan bersama-sama PH membentuk kerajaan adalah langkah membuat perubahan politik yang lebih sederhana.

Sementara itu, Shahidan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kekecewaan dalam kalangan akar umbi UMNO dan orang Melayu itu juga akan membawa kepada sokongan jitu kepada PN yang dilihat sebagai wadah terbaik penyatuan ummah.

Mengulas mengenai peluang PN menang di Padang Serai, Shahidan menyatakan bahawa gelombang yang berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri yang menyokong gabungan itu akan berterusan dan mampu membawa kemenangan besar di kerusi itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *