DUN Terengganu lulus Bajet 2023

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Bajet 2023, yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2023 hari ini, Ahmad Samsuri berkata bajet tersebut dirangka bertepatan dengan keadaan pemulihan ekonomi yang masih belum reda sepenuhnya ekoran penularan pandemik COVID-19.

Katanya berdasarkan kajian oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute bersama Universiti Malaysia Terengganu, didapati sejak Julai lepas prevalens pendapatan 95.9 peratus isi rumah B40 dan 92.6 peratus isi rumah M40 di negeri ini adalah berkurang dan tidak berubah.

“Pada masa sama prevalens perbelanjaan bertambah bagi kumpulan isi rumah ini pula ialah masing-masing 86.0 peratus (B40) dan 90.9 peratus (M40). Lebih merisaukan lagi, sekitar 72.5 peratus kumpulan isi rumah ini mengalami pengurangan simpanan,” katanya pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan 2023 di Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Justeru katanya kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai insentif dan pemberian tunai dalam Bajet 2023 sebagai strategi memberi suntikan kecairan tunai kepada ekonomi domestik melalui perbelanjaan pengguna, di samping untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

Ahmad Samsuri pada Isnin membentangkan Bajet 2023 yang merangkumi RM1.991 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus; RM500 juta Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta Perbelanjaan Bekalan Air.

Antara yang diumumkan adalah pemberian Baucar Pakej Berpantang bernilai RM200 bagi penjagaan selepas bersalin kepada wanita yang baharu melahirkan anak dan pemberian Pencen Rakyat bernilai RM600 yang akan diteruskan pada tahun depan.

Selain itu Bajet 2023 yang bertemakan  ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ itu turut melibatkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM150 kepada golongan pengawal keselamatan, petani, penternak, nelayan, pekerja industri pelancongan, belia dan mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan rendah bagi meringankan beban kewangan mereka. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *