206 ‘orang kuat’ Amanah Kedah tinggalkan parti

Oleh RIZQI ZABIDI

PARTI Amanah Negara (Amanah) Kedah kehilangan seramai 206 ‘orang kuat’ mereka terdiri daripada pimpinan kanan parti di negeri ini dan aktivis yang cukup aktif apabila mereka memutuskan untuk meninggalkan parti itu berkuat-kuasa serta-merta.

Menurut bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi, keputusan itu dibuat setelah mereka tidak melihat sebarang maklum balas daripada parti berhubung rayuan dibuat 12 Ketua Kawasan Amanah di Kedah yang mahu supaya dirinya kembali diterima sebagai ahli Amanah, dan diangkat semula ke jawatan Pengerusi Amanah Kedah seperti sebelum ini.

Katanya antara individu penting yang meninggalkan parti itu adalah Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa; Timbalan Speaker, Jamil Che Dan; Ketua Pemuda Negeri, Mohd. Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepimpinan Pemuda Amanah negeri.

“Begitu juga dengan beberapa Ketua Kawasan termasuk Merbok, Jerlun dan Pendang. Dalam sidang akhbar sebelum ini pun pernah dinyatakan bahawa pemecatan saya dari Amanah akan memberi kesan kerana kami kemasukan kami ke dalam parti ini untuk menubuhkannya satu ketika dulu dibuat secara kabilah atau ‘en bloc’ melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

“Maka hari ini diumumkan bahawa sejumlah 206 pemimpin Amanah peringkat negeri dan kawasan di Kedah mengambil keputusan berhenti dari menjadi ahli parti. Mereka ini bersama saya sejak awal penubuhan Amanah dan sekarang masing-masing mengambil keputusan tersebut setelah melihat bagaimana seorang ketua dikeluarkan dari parti.

“Selepas ini dijangkakan ada lagi yang akan meninggalkan parti tetapi mereka tangguh dulu sementara hari pengundian Parlimen Padang Serai pada 7 Disember. Selepas itu kita akan lihat pertambahan ahli yang akan keluar daripada menjadi ahli Amanah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di rumahnya dekat sini, hari ini.

Amanah sebelum ini memecat Phahrolrazi pada 30 Oktober lalu setelah beliau dikatakan melanggar Perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

Pemecatan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Phahrolrazi membantah keputusan kepimpinan Amanah Pusat memberi laluan kepada DAP bertanding di Jerai.

Phahrolrazi menambah, ribuan ahli parti itu di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dijang akan turut mengambil langkah sama tidak lama lagi.

“Kami bagaimanapun akan tetap berada dalam lingkungan Pakatan Harapan (PH) cumanya bersama parti lain. Parti mana yang akan kami sertai, itu akan diumumkan kemudian setelah kami diterima menjadi ahlinya nanti.

“Kami akan masuk secara ‘en bloc’ dan disebabkan itu, sudah tentulah ada rundingan perlu dibuat tentang bagaimana mahu memposisikan kumpulan ini yang terdiri daripada pimpinan serta aktivis politik. Perkara ini mahu diselesaikan segera bagi memperkukuhkan PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah keputusan PRU cukup mengecewakan sebelum ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *