Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

TAN Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengingatkan akan kewajipan mengundi kepada rakyat negara ini setiap kali mereka berdepan pilihan raya.

Menurut Presiden Pas itu, kegagalan mengundi boleh mengakibatkan politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam sekali gus mengundang pelbagai azab di dunia.

Namun Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, sebahagian umat Islam itu sendiri mengabaikan tanggungjawab tersebut apabila ada yang tidak mahu turun mengundi.

“Malah (sebahagian umat Islam) menolak demokrasi secara keseluruhan dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat.

“Kesannya, politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam atau tidak memahami Islam dengan makna yang sebenar, lantas mengundang pelbagai azab di dunia seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, kemiskinan, kenaikan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, demokrasi pilihan raya hakikatnya berasal daripada Islam melalui kitab-kitab karangan para ulama Siyasah al-Syar‘iyyah berasaskan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Beliau berkata, demokrasi pilihan raya kemudian dicedok oleh pihak Barat semasa mereka menjarah tanah air umat Islam.

“Marilah kita umat Islam sama-sama kembali kepada penghayatan Islam yang hakiki, khususnya dengan melibatkan diri dalam politik demi menjamin masa depan umat dan negara yang lebih baik,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *