SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar.
Selain itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan terdapat pengguna media sosial yang menyatakan beberapa video berhubung amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tular di TikTok mempunyai label “paid partnership” atau perkongsian berbayar. – BERNAMA
Leave a Reply