Tolak pemimpin kelabu mata demi jawatan, gadai prinsip – Hadi

PRESIDEN Pas membidas pemimpin parti politik utama negara ini apabila bersikap kelabu mata menerima tawaran yang menjanjikan kedudukan tinggi seperti perdana menteri dan menteri besar dengan sanggup menggadai prinsip diperjuangkan mereka selama ini.

Tegas Tan Sri Abdul Hadi Awang, perkembangan semasa itu agak malang jika dibandingkan dengan Sirah Nabawiyyah yang patut diteladani umat Islam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selanjutnya menggesa rakyat yang melihat dan memahami perkembangan itu mesti menolak jenis pemimpin seperti itu.

“Malangnya hari ini, apabila ditawarkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco, dan sebagainya, terus kelabu mata untuk menerimanya dan sanggup menggadaikan prinsip. Kita sebenarnya belajar daripada siapa?

“Maka, rakyat yang melihat dan memahami mesti menolak jenis pemimpin seperti ini,” katanya menerusi catatan Facebook terbaharu beliau hari ini.

Mengulas lanjut Hadi menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW yang ditawarkan pemimpin Musyrikin Mekah dengan jawatan raja, harta kekayaan, dan wanita asalkan Nabi SAW meninggalkan dakwah Islamiah, Baginda SAW dengan tegas menolak tawaran tersebut.

Walhal katanya, boleh saja Nabi Muhammad SAW menerima tawaran tersebut, kerana dengan kuasalah Baginda mampu melakukan apa-apa sahaja.

Namun tegasnya, Nabi SAW menolak kerana Islam tidak dapat memimpin dan perlu menuruti kehendak orang kafir Quraisy.

“Selepas berhijrah ke Madinah, barulah Rasulullah SAW menjadi pemimpin Madinah kerana Islam sudah boleh memimpin dan menyatupadukan seluruh masyarakat majmuk di sana. Inilah petunjuk Sirah Nabawiyyah yang patut kita teladani.

“Marilah sama-sama kita mendukung Perikatan Nasional untuk melakukan perubahan dan membina kepimpinan negara secara istiqamah berdasarkan petunjuk Allah SWT,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *