Dr Afif Bahardin

PH hipokrit, angkuh minta tindakan polis terhadap calon PN – Afif Bahardin

TIMBALAN Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Dr. Afif Bahardin membidas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menggesa polis mengambil tindakan terhadap calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin kerana mengatakan kerajaan baru seperti ‘kerajaan zina’.

“Ugutan PH untuk mengambil tindakan polis berhubung kenyataan Azman bertentangan sama sekali dengan janji yang berulang kali bahawa mereka akan mempertahankan kebebasan bersuara.

“Dalam Manifesto Pilihan Raya PRU-15, PH secara khusus berjanji untuk memansuhkan undang-undang zalim yang menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk ‘mempertahankan demokrasi dan mempromosikan kebebasan bersuara.’

“Menuntut polis menyiasat Azman adalah bertentangan sama sekali dengan dakwaan PH sebagai juara demokrasi,” kata Afif dalam kenyataan, lapor Berita Bersatu.

Terdahulu, Fahmi meminta Azman disiasat oleh pihak berkuasa kerana kenyataannya yang ‘biadab dan tidak menghormati’ institusi diraja.

Bagaimanapun, Azman telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya mengeluarkan kenyataan mempunyai unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kempen ceramahnya baru-baru ini.

Azman mengesahkan perkara itu berkata, keterangan tersebut dibuat di Balai Polis Hi-Tech, Kulim pada pukul 12 tengah malam kelmarin.

Mengulas perkara tersebut, Azman menjelaskan bahawa kenyataannya itu disalah erti oleh pihak tertentu dengan mendakwa beliau menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan saya tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya apa yang saya katakan adalah mengenai prinsip UMNO dalam resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Tapi pimpinan UMNO langgar dan menyebabkan ahli UMNO di bawah marah…Apabila tiada restu daripada ahli dan pemimpin mereka langgar undang-undang parti, saya nak sebut apa? Memang agak kasar sedikitlah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kempen di Kampung Nesa di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Afif berkata, tidak ada unsur jenayah dalam apa yang diperkatakan oleh Azman.

“Ia adalah kritikan politik terhadap gabungan baru BN-PH dan ia adalah komen yang adil. Sebarang penggunaan kuasa polis untuk menyiasat musuh politik PH berhubung kritikan politik adalah penyalahgunaan kuasa polis.

“Fahmi dan PH kini bertindak persis seperti mana BN pernah bertindak ketika berkuasa dengan mengancam siasatan polis apabila mereka dikritik oleh ahli politik pembangkang.

“Sebaliknya, PN ketika berkuasa tidak mengambil tindakan polis terhadap ahli politik PH yang berulang kali menghina kerajaan dengan menjenamakan kerajaan pintu belakang atau kerajaan gagal serta banyak lagi istilah menghina,” kata Afif.

“Kami menuntut PH dan Fahmi Fadzil menarik balik ugutan untuk menggunakan kuasa polis terhadap Azman Nasrudin yang melanggar kebebasan bersuara dan undang-undang pilihan raya,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *