Warga emas patah kaki langgar buaya lintas jalan

SEORANG warga emas patah kaki selepas motosikal ditunggangi terlanggar buaya di jalan Kampung Kubang Telaga, di Bachok pukul 12.30 tengah hari tadi.

Menurut mangsa, Rossazali Abdullah, 61, mendakwa terlanggar buaya sepanjang lebih dua meter yang sedang melintas jalan.

“Kejadian berlaku ketika saya menunggang motosikal bersendirian dari Gunong, Bachok untuk pulang ke rumah di Taman Desa Anda, Pasir Puteh.

“Setibanya di tempat kejadian, saya terkejut melihat seekor buaya atas jalan dan tidak sempat menekan brek.

“Saya terlanggar bahagian tengah badan reptilia itu dan ekornya melibas saya menyebabkan saya dan motosikal terbabas ke dalam kawasan lumpur di tepi jalan itu,” kata Rossazli yang juga pesara kerajaan ketika dihubungi.

Rossazali berkata, buaya itu menghilang ke semak berdekatan, manakala penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu membantunya keluar daripada lumpur.

“Penduduk turut membantu membersihkan lumpur pada motosikal, manakala saya dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan X-ray mendapati kaki kanannya patah dan kini dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Sementara itu, Rossazali berkata, laporan polis juga belum dibuat memandangkan dia perlu menjalani rawatan terlebih dulu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *