Oleh BADLISHAH MAT
SEORANG kanak-kanak maut, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri akibat dihempap tiang elektrik yang dilonggok di tepi jalan di Kampung Belukar Changlun, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang tadi, kesemua kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun itu dipercayai bermain di atas longgokan tiang tersebut yang kemudian terjatuh.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh petugas kesihatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saadon berkata, dua kanak-kanak yang tidak sedarkan diri itu kini menerima rawatan di Hospital Jitra.
“Komander Operasi melaporkan kejadian melibatkan tiga mangsa yang dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik itu yang dilonggokan di tepi jalan berkenaan.
“Tiang tersebut dipercayai telah terjatuh dan menghempap mangsa. Semasa anggota tiba di lokasi ketiga-tiga mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam dengan menggunakan jengkaut,” katanya hari ini.
Menurut Saayani, pasukannya membawa seorang mangsa yang tidak sedarkan diri ke Hospital Jitra, manakala seorang lagi mangsa dibawa oleh ambulan Kementerian Kesihatan.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Leave a Reply