‘Ini senarai tindak-tanduk DAP terhadap Islam dan Melayu’ – Pemuda Pas

DEWAN Pemuda Pas hari ini, tampil mempertahankan kenyataan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan DAP yang juga komponen Pakatan Harapan (PH) sebagai parti ekstrim dan mempromosi Islamofobia.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli berkata, kenyataan Abdul Hadi itu adalah berasaskan fakta yang jelas menunjukkan ada pemimpin DAP menolak asas Perlembagaan Persekutuan, bersikap islamofobik dan rasis dalam setiap perlakuan serta tindak-tanduk mereka.

Beliau menyenaraikan beberapa tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP sebelum ini dan tidak pernah ditarik balik hingga kini.

“Pada 2014, pemimpin DAP Ngeh Koo Ham menyatakan pendirian bahawa hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam dan kenyataan itu tidak pernah ditarik balik hingga kini.

“Pada April 2019, senator daripada DAP, Nga Hock Cheh menggesa pengguguran status kaum termasuk Islam pada MyKAD, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional. 

“Pada 14 November lalu, Nga Kor Ming ketika kempen PRU15 menyatakan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan Pas dalam mengawal aktiviti maksiat. 

Kenyataan media Dewan Pemuda Pas

“Pada Oktober lalu, tokoh DAP Lim Kit Siang, menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia. Malah sehingga kini, DAP masih berpegang kepada Deklarasi Setapak yang berhasrat mengubah status Bumiputera dalam Malaysia. Deklarasi tersebut tidak ditarik balik,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Hanafi menegaskan, semua kenyataan dan pendirian pemimpin DAP itu jelas menunjukkan mengenai sifat malignan DAP terhadap fabrik sosial negara ini. 

Katanya, tak perlu menunggu Presiden Pas membuat laporan polis, rakyat sendiri sudah lama melaporkan perbuatan dan tindak-tanduk DAP untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang. 

“Ini termasuk laporan polis oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pada 22 Februari 2022 berhubung keceluparan pemimpin DAP, P. Ramasamy terhadap Majlis Agama Islam Perlis.

“Laporan polis dibuat oleh Pemuda Pas pada 7 Julai 2021 terhadap kenyataan penghinaan oleh Kit Siang berkaitan isu Kerajaan Allah, selain laporan oleh NGO UMMAH pada 19 November 2022 berkenaan kempen rasis oleh pemimpin DAP, Hew Kuan Yew,” katanya.

Justeru, beliau berkata, fakta membuktikan apa yang disebut Presiden Pas itu bukanlah suatu fitnah, sebaliknya beliau hanya menyatakan perkara sebenar yang berlaku. 

“Kebenaran itu pahit untuk ditelan. Namun sepahit mana kebenaran itu, ia harus diakui. 

“Sama seperti hakikat kerajaan ini dianggotai sebuah parti yang bersifat pesimis terhadap Islam dan bangsa Melayu. Walau pun cuba dinafikan, ia tidak pernah mengubah fakta sebenar hala tuju dan perjuangan mereka,” tegasnya.

Hanafi menegaskan yang Pas mengakui dan menjunjung perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan hari ini. 

“Semua kerajaan terbentuk dan mendapat perkenan baginda adalah sah di sisi Perlembagaan seperti mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk pada Mac 2020 walaupun sering dituduh kerajaan pengkhianat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *