KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menafikan, masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran adalah disebabkan peniaga menyorok komoditi tersebut.
Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku kerana jangka hayat telur sangat pendek selain mudah rosak.
Katanya, masalah kekurangan bekalan berlaku kerana pengguna melakukan pembelian panik atau membeli pada kuantiti terlalu banyak.
“Kita tiada pun sebarang aduan rasmi mengenai perkara tersebut dan kita pun faham telur ini mempunyai had jangka hayat pendek.
“Jadi agak mustahil untuk sorokkan telur ini sebagai salah satu komoditi. Jadi tak mungkin berlaku untuk sorok telur ini.
“Apa yang berlaku di Kuala Lumpur adalah lebih kepada pembelian panik yang menyebabkan setiap orang membeli pada kadar yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan harga telur ayam di salah sebuah pasar raya di Titiwangsa, hari ini.
Pada masa sama, Ariffin menegaskan, telur merupakan barang kawalan yang mana harganya tidak boleh naik sewenang-wenangnya di pasaran.
Malah, pihaknya turut memiliki pegawai yang akan menjalankan pemantauan dalam memastikan harga telur di pasaran dipatuhi setiap peniaga.
“Kita tidak terima sebarang aduan berkenaan (telur) melebihi harga kawalan, sebab kita control, telur gred A B dan C adalah di bawah kawalan kita.
“Kita juga setiap hari ada pegawai pemantau harga yang memantau, jadi bila dia memantau kita dapat lihat harga-harga.
“Tak nampak sebarang unsur mengatakan telur kawalan ini dijual pada harga melebihi harga,” katanya lagi.
Beliau menambah jumlah bekalan telur di ibu negara masih pada kadar sama iaitu sekitar 140,000 sehingga 120,000 biji.
Sehubungan itu, Ariffin berharap, pengguna tidak melakukan pembelian panik dan menggunakan telur pada kadar sama seperti mana kebiasaan.
“Jadi saya nasihatkan kembali kepada cara hidup yang lama, kalau biasa makan lima biji, beli lima biji, jangan beli lebih-lebih.
“Dia ‘expired’ cepat, telur Omega pun beli hari ini 20 hari bulan sudah expired, takkan nak simpan sampai 20 hari,” tegasnya.
Leave a Reply