NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengesahkan dirinya sekali lagi dijangkiti wabak Covid-19.
Perkara itu didedahkannya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri Majlis Kesyukuran dan Meraikan Jentera Permatang Pauh pada malam ini akibat penularan tersebut.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Majlis Kesyukuran dan Meraikan Jentera P044 Permatang Pauh pada malam ini kerana telah dijangkiti Covid-19.
“Namun, majlis akan tetap berlangsung malam ini seperti yang telah dirancang. Insya-ALLAH saya akan bertemu para jentera yang telah membantu saya selama ini pada sesi yang seterusnya,” katanya.
Majlis kesyukuran yang dijadualkan bermula jam 6 petang hingga 10 malam itu diadakan sempena pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan dalam masa sama meraikan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) Permatang Pauh.
Beliau turut memaklumkan hanya mengalami gejala ringan dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin.
“Alhamdulillah, setakat ini saya hanya mengalami gejala ringan dan sedang menanti hari untuk selesai kuarantin dan suami untuk keluar dari wad. Mohon doakan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply