Oleh BADLISHAH MAT
CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj menyifatkan ‘permintaan’ Pakatan Harapan (PH) agar beliau memberi laluan kepada mereka sebagai tidak adil.
Malah, Sivaraj pula yang meminta Dr. Mohamad Sofee Razak memberi laluan kepadanya kerana calon PH itu didakwa hanya baru ‘tiba’ di Padang Serai beberapa hari lalu.
Selain itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu berkata, beliau sudah bekerja keras di Padang Serai sejak kira-kira tiga tahun lalu.
“Beliau baru tiba sehari sebelum penamaan calon. Jadi, tidak adil untuk meminta saya memberi laluan kepadanya hanya kerana BN memberi laluan kepada calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
“Itu bukan masalah saya kerana senario di sini berbeza. Saya telah berkhidmat untuk rakyat dan orang di sini mengenali saya secara peribadi kerana nama saya.
“Mohamad Sofee sepatutnya beri laluan kepada saya, tidak adil meminta saya memberi laluan, ia tidak logik. Saya tidak akan sekali-kali bersetuju dengan itu,” katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di Kampung Padang di Padang Serai, Kulim hari ini.
Kelmarin Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PH Kedah meminta pucuk pimpinan kedua-dua PH dan BN mencapai kata sepakat untuk berkompromi dengan memberi laluan kepadanya untuk menentang Perikatan Nasional (PN).
Katanya, kemenangan kerusi Parlimen Padang Serai mahu dijadikan sebagai hadiah kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai hari pengundian.
Selain Sivaraj dan Sofee, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara PN (Datuk Azman Nasrudin) Pejuang (Hamzah Abd. Rahman), Warisan (Mohd. Bakri Hashim) dan seorang calon bebas (Sreanandha Rao).
Leave a Reply