guane

PILIHAN RAYA umum ke-15 (PRU-15) sudahpun berlalu di mana rakyat di negara ini telah pun memilih calon dan parti politik tertentu bagi menerajui tampuk pemerintahan negara.

Sepertimana PRU14 yang lalu, kejutan demi kejutan turut berlaku pada kali ini, menyebabkan wujudnya ‘kemelut’ khususnya ketika ingin melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Selain tiada parti menang dengan majoriti mudah, ia turut menyaksikan beberapa calon dan tokoh politik ‘heavyweight’ popular telah tumbang dan ada pula yang menang dengan majoriti tipis.

Antara tokoh politik yang tumbang dan menjadi bualan ramai ialah Pengerusi parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), tokoh veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li (Gua Musang), Khairy Jamaluddin atau KJ (Sungai Buloh) dan Mahdzir Khalid (Padang Terap).

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula walaupun masih mampu mencapai kemenangan, namun majoriti yang diperoleh agak kecil iaitu hanya 348 undi sahaja.

Perkembangan ini seakan memberi isyarat kepada beliau supaya membuat keputusan berundur segera dalam dunia politik tanah air.

Dalam PRU-15, Ahmad Zahid yang bertanding di Bagan Datuk mendapat 16,578 undi menewaskan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH) yang mendapat 16,230 undi, Mohamad Taufik Tun Dr Ismail (Bebas) mendapat 226 undi dan Dr Muhammad Faiz Na’aman (PN-Bersatu) mendapat 8,822 undi.

Pada PRU 14 lalu, Ahmad Zahid yang mendapat 18,909 undi menang dengan majoriti 5,073 undi.

Dengan pencapaian ini banyak pihak meminta supaya Ahmad Zahid berundur segera dalam dunia politik.

Selain menang dengan majoriti agak kecil, pada PRU15 kali ini juga turut menyaksikan pencapaian terburuk BN yang diterajui Ahmad Zahid hanya memperoleh 30 kerusi sahaja.

Hal ini menyebabkan beberapa pemimpin politik UMNO meminta supaya Ahmad Zahid berundur secara terhormat dengan meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Gesaan itu dibuat oleh wakil pemimpin UMNO seluruh negara termasuk sayap parti membabitkan Wanita, Pamuda dan Puteri.

Malah, penulis percaya gesaan secara terbuka dan bertali arus tersebut bakal mewujudkan suasana kurang harmoni dan boleh menghancurkan parti tersebut.

Turut terkedu dengan keputusan PRU15 kali ini ialah Dr Mahathir yang tumbang dan juga hilang wang pertaruhan di Parlimen Langkawi.

Bekas Perdana Menteri itu hanya mendapat 4,566 undi tewas kepada calon PN, iaitu Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mendapat 25,463 undi dengan majoriti 13,518 undi.

Manakala Datuk Armishah Siraj (BN) mendapat 11,945 undi, Zabidi Yahya (PH) 5,417 undi dan Datuk Abdul Kadir Sainudin (Bebas) 89 undi.

Pada PRU14, Dr Mahathir yang bertanding atas tiket PKR mendapat 18,954 undi menang dengan majoriti 8,893 undi.

Selain itu kejutan ke atas Ku Li pula apabila beliau tewas tipis kepada calon PN-Pas Mohd Azizi Abu Naim setelah mempertahankan Parlimen Gua Musang yang dahulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan sejak 1974.

Mohd Azizi yang menang dengan majoriti 163 undi mendapat 21,663 undi, mengatasi Ki Li yang mendapat 21,663 undi.

Dua lagi calon, Samsu Adabi Mamat (Pejuang) mendapat 371 undi dan Asharun Uji (PH-PKR) 4,517 undi).

Pada PRU14, Ku Li mendapat 19,426 undi dan menang dengan majoriti 3,913 undi.

Ramai penganalis dan pemerhati politik menyifatkan kekalahan tokoh politik veteran berkenaan adalah disebabkan para pengundi inginkan perubahan kepimpinan lalu bertindak menolak mereka.

Justeru, penulis berpendapat sudah sampai masanya, orang politik seperti Tun M, Ku Li dan Ahmad Zahid membuat keputusan untuk ‘pencen’ dalam dunia politik tanah air.

Cukuplah ‘mencari’ dan ‘bermain’ dengan kemarahan orang, berilah peluang kepada generasi muda untuk memimpin dan menerajui parti politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here