USAHA membaik pulih bekalan air bersih di Kelantan sejak 2019 akan diteruskan dengan penukaran paip lama yang dijangka siap pada 2024.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, proses penukaran paip sepanjang 226 kilometer (km) membabitkan kos RM141.2 juta dibuat di Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu dan Machang.
Beliau berkata, penggantian paip lama yang uzur dengan paip baharu di Kelantan pada 2018 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM73.6 juta di Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat sepanjang 91km sudah siap dilaksanakan.
“Selain itu, yang terbaharu di bawah pakej tiga yang membabitkan penukaran paip sepanjang 95km di Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Kota Bharu Selatan dan Tumpat.
“Bagi penukaran paip ini, ia di dalam proses penyediaan dokumen tender,” katanya sebagai menjawab soalan daripada Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok berkata, bagi pembinaan telaga di loji Tanjong Mas, di bawah pakej satu juga di dalam proses pembinaan yang mencapai kemajuan 77 peratus.
“Sementara itu, di bawah pakej dua, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tanjong Mas, perancangan kita adalah membabitkan kapasiti air sebanyak 30 juta liter sehari dan tender dijangka pada November ini,” katanya yang menjawab soalan tambahan Rohani.
Dalam perkembangan sama, Azami berkata, kerajaan negeri juga melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah bekalan air bersih khususnya di Pulai Chondong, Machang.
Katanya, kerajaan akan menyiapkan baki kerja di Loji Pulai Chondong yang membabitkan peruntukan RM1.7 juta dan permohonan sudah dibuat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Selain itu, cadangan menaik taraf sistem loji di Merbau Chondong dan dalam proses permohonan peruntukan pinjaman. Jangkaan tender pada 2022 dan dijangka siap 2024.
“Loji Merbau Chondong dapat mengeluarkan air bersih sebanyak 60 juta liter sehari dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Pulai Chondong khususnya dan sebahagian besar Kelantan,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply