Pelajar maut, rakan cedera motosikal bertembung lori

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pelajar tingkatan tiga maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori di simpang tiga Gajah Puteh, Mukim Jeneri di Sik pada pukul 7.45 malam, semalam.

Mangsa, Muhammad Naufal Muhammad Lutfi, 15, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Daerah Sik.

Rakannya, Muhammad Alif Ikmal Abdul Razak yang turut berusia 15 tahun dan penunggang motosikal itu cedera di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kemalangan membabitkan kedua-dua pelajar yang menaiki motosikal jenis Honda C100 dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 36 tahun.

Katanya, lori tersebut datang dari arah Pendang menghala ke Sungai Petani, manakala motosikal terbabit datang dari arah Dewan Teratai di Gajah Puteh menghala ke Kampung Betong.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu lori tersebut telah nampak kedua-dua mangsa yang sedang menunggang motosikal dan telah membunyikan hon beberapa kali sebelum mereka memberhentikan motosikalnya.

“Malangnya, tiba-tiba mangsa membelok ke kanan jalan menyebabkan pemandu lori tidak sempat menekan brek dan mengelak, lalu terlanggar motosikal mangsa di bahagian sebelah kirinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Irsyadiah, Pondok Ampang di Jeneri, Sik tercampak dan mengalami kecederaan.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke hospital oleh ambulan Pasukan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk mendapatkan rawatan.

Namun, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kerana kecederaan parah di bahagian kepala, sementara rakannya mengalami luka di lutut sebelah kanan, calar di ibu jari kaki sebelah kanan serta sakit-sakit badan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital terbabit untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *